Monday, August 13, 2007

3 PERANAN DAN FUNGSI MASJID, SURAU DAN MADRASAH

Peranan dan Fungsi Masjid Nabawi , Masjid di Zaman Rasulullah S.A.W.

Masjid Nabawi di zaman Nabi S.A.W digunakan untuk pelbagai tujuan. Di antara kegunaan masjid selain dari solat dan iktikaf di zaman itu adalah:

i. Pusat pendidikan utama;

ii. Tempat perjumpaan dan interaksi semua Muslimin di mana perayaan-perayaan, riadah dan acara sukan diadakan;

iii. Pengkalan untuk membuat persiapan bagi peperangan dan tempat merawat mujahid-mujahid yang cedera. Tawanan perang ditahan di kawasan bersebelahannya;

iv. Mahkamah dan tempat hukuman dilaksanakan;

v. Pusat pentadbiran dan politik, serta juga merupakan tempat di mana perwakilan-perwakilan asing disambut dan dilayan;

vi. Pusat kebajikan bagi golongan miskin dan sebagai tempat berteduh bagi golongan yang tiada tempat tinggal;

vii. Tempat di mana beberapa urusan jual-beli atau ekonomi di jalankan.

Konsep Masjid Sebagai Tempat Tumpuan Masyarakat

3.2.1 Sirah dan hadith Rasulullah S.A.W. memberi gambaran jelas mengenai kedudukan masjid sebagai tempat tumpuan hidup bermasyarakat di zaman Rasulullah S.A.W. Harus di ingatkan bahawa masjid di zaman Rasulullah S.A.W. menjadi tempat tumpuan masyarakat dan tempat pelbagai aktiviti berhubungkait dengan:

Ø Konsep kesyumulan agama Islam; dan

Ø Peribadi dan kepimpinan Rasulullah S.A.W.

3.1.1 Secara ringkasnya Islam adalah satu cara hidup yang sempurna di mana keseluruhan aktiviti kehidupan dianggap sebagai ibadat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan di akhirat. Dengan itu segala urusan hidup seseorang muslim seperti jual-beli (ekonomi), sosial, kebajikan, pendidikan, perundangan dan sebagainya, termasuk juga riadah mempunyai hubungan langsung dengan persediaan untuk hidup di akhirat. Budaya hidup muslimin tidak memisahkan di antara kegiatan-kegiatan duniawi (sekular) dengan persediaan untuk akhirat.

3.1.2 Secara umumnya, dapat disimpulkan bahawa masjid menjadi tumpuan masyarakat pada masa itu kerana ianya merupakan tempat berpusatnya kebanyakan daripada kegiatan sosio-budaya masyarakat Islam di masa itu. Hakikat bahawa masjid pada masa kini digunakan hampir secara khusus untuk ibadat ritualistik sahaja mungkin timbul dari meluasnya pengaruh sekularisma dalam masyarakat kini yang memisahkan secara jelas di antara aktiviti agama dengan aspek-aspek kehidupan lain yang dianggap duniawi.

3 KONSEP PUSAT PEMBANGUNAN MASYARAKAT ISLAM

3.2 Di antara aktiviti-aktiviti dan aspek-aspek yang ditekankan di dalam masjid ini ialah:

3.2.1 Meningkatkan daya kefahaman serta daya intelek tentang Islam;

3.2.2 Mewujudkan suasana penghayatan Islam yang menyeluruh;

3.2.3 Menjalinkan semangat persaudaraan dan ukhuwah diantara umat Islam;

3.2.4 Membina kebahagiaan dan kedamaian di dalam institusi keluarga Islam.


CABARAN DAN MASAALAH UMAT ISLAM MASAKINI

Dalam keghairahan umat Islam ingin mencapai matlamat untuk memertabatkan diri mereka sebagai insan Rabbani duniawi dan ukhrawi, tidak dapat dinafikan akan terdapat beberapa cabaran dan kesan-kesan sampingan melalui pengaruh-pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan akidah, melumpuhkan keyakinan dan menyelewengkan kefahaman tentang Islam sebenarnya.

a) Diantara cabaran-cabaran yang dihadapi ialah:-

i) Kurangnya pengetahuan yang jelas mengenai Islam sebagai ad-Deen yang merangkumi segala aspek kehidupan;

ii) Kuatnya pengaruh sekular yang meresap dan mengubah pemikiran masyarakat terhadap Islam;

iii) Runtuhnya institusi keluarga hasil daripada penyerapan nilai-nilai cara hidup masyarakat di Barat;

iv) Hilangnya semangat ukhuwah diantara umat disebabkan penguasaan materialistik yang berlebih-lebihan.

v) Perpecahan dan pertelingkahan di antara ummah oleh kelainan aliran politik dan fahaman;

vi) Terhadnya tempat bagi masyarakat Islam meluahkan perasaan dan mendapatkan rundingcara mengenai syariah dan hukum-hukum Islam.

b) Fenomena ini jika tidak dibendung akan menular dan meresap ke dalam kehidupan masyarakat Islam umumnya dan khususnya di kawasan persekitarannya.